Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu penting memandangkan perkara itu melibatkan isu dana dan kepentingan awam.
"Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.
"Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak... atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat malam.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan, memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Pada Khamis, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan Khazanah, PNB dan FashionValet memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.
Bagaimanapun ketiga-tiga pihak masing-masing Khazanah, PNB dan FashionValet telah mengeluarkan kenyataan mereka.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjelaskan tindakan menjual kepentingan dalam FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta pada tahun 2018 adalah bagi memacu syarikat e-dagang fesyen tempatan itu.
Dalam satu kenyataan, Khazanah mejelaskan, penjualan itu bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah trajektori pertumbuhan sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.
Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan pada Jumaat turut menegaskan, pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.
“Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian pada TK23,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar memohon maaf dan akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd.
Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, keputusan itu dibuat berikutan isu terkini yang melibatkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat berkenaan.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan konflik ketika ini menjejaskan syarikat yang sedang dalam proses pemulihan.