Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd Zainariah Johari berkata langkah itu bagi menggalakkan masyarakat menghargai dan berbelanja dalam industri kreatif sekali gus mewujudkan permintaan bagi hasil seni tempatan.
"Antara yang kita harapkan dalam Belanjawan 2025 adalah sesuatu yang berkaitan rebat cukai. Contoh, sekiranya seseorang itu pergi tengok teater seni, persembahan di Istana Budaya, membeli hasil seni, mereka dapat pelepasan cukai itu.
"Kita mahu memberikan galakan kepada golongan muda, remaja termasuk juga komuniti untuk membeli hasil kerja yang dihasilkan oleh penggiat industri seni kreatif, seperti pelukis, penulis buku, pengusaha seni tradisional dan sebagainya. Ini antara yang saya pernah suarakan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia bertajuk "Menjelang Belanjawan 2025: Harapan Industri Kreatif Malaysia" terbitan Bernama TV semalam.
Zainariah berkata usaha itu dilihat perlu bagi merancakkan lagi permintaan terhadap seni kreatif tempatan bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian industri berkenaan.
Beliau turut mencadangkan agar tumpuan diberikan pada memperkasakan sektor pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dan tahap 'celik seni' golongan muda termasuk komuniti secara keseluruhan untuk menghargai seni kreatif tanah air.
"Dalam masa sama, penggiat seni kreatif kita juga kena mencipta permintaan supaya semua orang suka (hasil seni kreatif yang dihasilkan) kerana apabila ada permintaan, akan ada penawaran maka penggiat seni akan sentiasa 'bekerja' sekali gus mewujudkan industri yang mampan dan lestari," katanya.
Selain itu, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih tinggi kepada industri seni kreatif dalam Belanjawan 2025.
"Tahun 2024, RM160 juta, bagi tahun 2023, RM127 juta. Jadi jumlahnya meningkat. Insya-Allah untuk tahun ini memang itu yang kita harapkan," katanya.
Belanjawan 2025 bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
-- BERNAMA