KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong pengurus sebuah bistro mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat lebih RM38,000, tujuh tahun lepas.

Mohd Jazlie Naim Latiff, 40, yang ketika itu penolong pengurus didakwa melakukan pecah amanah wang hasil perniagaan berjumlah RM38,579.80 di sebuah bistro di Dang Wangi di sini antara 7 Jun sehingga 27 Jun 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mencuri wang sama pada lokasi, masa dan tarikh serupa, mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Sept untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA