Seorang bayi yang ditempatkan di sebuah Taska di Sungai Buloh meninggal dunia semalam.

Bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu pada mulanya ditemui dalam keadaan lemah di bilik air Taska berkenaan di Saujana Utama kira-kira 4 petang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata pengurus Taska berkenaan membuat laporan bahawa bayi itu tidak berada di ruang tamu Taska itu ketika hendak diberi susu, yang kemudiannya dia ditemui di dalam bilik air.

"Bayi tersebut kemudiannya segera di bawa ke Hospital Sungai Buloh oleh pengurus Taska berkenaan sebelum meninggal dunia di hospital tersebut, akibat sesak nafas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, pengurus Taska berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan.
Junaidi berkata mayat bayi tersebut telah dituntut ibu bapanya.

Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.