KUALA LUMPUR: Dengan lima sungai di Kedah melepasi tahap bahaya, pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, terdapat kemungkinan pertambahan mangsa di bahagian Kota Setar, susulan penurunan air dari kawasan hilir.

Jelasnya, Monsun Timur Laut menyebabkan daerah-daerah lain bersebelahan Laut China Selatan turut terjejas, terutama dengan hujan yang turun dengan intensiti tinggi di bahagian hulu, menyebabkan limpahan air keluar dari empangan dengan jumlah yang agak tinggi.

“Sungai-sungai ini adalah Sungai Bata, Sungai Perik, Sungai Padang Terap, Sg Anak Bukit, Sg Anak Bukit di Jambatan TAR, manakala Sg Laka di paras waspada.

“Kita bersama agensi berkaitan sedang pantau kemungkinan Kota Setar ada peningkatan kerana penurunan air dari hilir ke hulu,” katanya.

Sementara itu, di Kelantan, situasi banjir kali ini dilihat memerlukan pengurusan koordinasi dan pelaksanaan yang lebih baik dan sistematik, biarpun perancangan sudah dibuat dengan baik.

Wartawan Astro AWANI yang berada di Tumpat, Firdaus Azil melaporkan, banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air mengalami banjir, sekali gus memerlukan tindakan yang lebih efisien diambil pihak berkuasa.

“Ada beberapa kekangan sebagai contoh di Tumpat, air dari Rantau Panjang masuk ke kawasan dan bertembung dengan air hujan, menjadikan jumlah kenaikan mangsa secara mendadak. Kawasan yang sebelum ini tak banjir pada 2014, kali ini banjir.

“Dari segi pengurusan, kami ada ke beberapa pusat pemindahan sementara, memang ada mengadu kekurangan barangan asas.

“Kita rujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengerahkan bantuan khemah dari negeri lain perlu dibawa masuk dan juga pengurusan perlu dipertingkat.

“Ini menggambarkan keadaan yang serius sekarang yang memerlukan koordinasi lebih baik. Bagaimanapun kita juga perlu beri kredit kepada semua pihak yang sudah bertungkus lumus sehingga hari ini,” katanya.