KUANTAN: Seramai 573 mangsa banjir dari 171 keluarga di negeri ini berada di 11  pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi pada Isnin.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa adalah dari lima daerah terjejas iaitu Temerloh, Lipis, Raub, Jerantut dan Bera.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 383 mangsa daripada 114 keluarga di daerah Temerloh telah dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan yang dibuka sejak Khamis.

"Manakala daerah Bera pula, 19 mangsa banjir berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka pada Jumaat lalu, dan sembilan mangsa berada di PPS SK Kerayong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI 

Di Jerantut pula, seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Sempadan.

Di Lipis, dua PPS dibuka di mana seramai 58 mangsa banjir berada di SK Lubuk Kulit dan 31 mangsa berada di Masjid Kampung Beletik.

"Sementara itu, sebanyak lima buah PPS di buka di Raub yang mana seramai 30 mangsa berada di SK Ulu Atok, tiga mangsa berada di Balai Raya Kampung Ria, lapan mangsa berada di Masjid Kampung Kuala Semantan, dan tujuh mangsa berada di PPS Balai Raya Kampung Sengkela.

"Manakala Balai Raya Kampung Chenua yang dibuka malam tadi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga," ujarnya.