KOTA BHARU: Sebanyak 230 pencawang elektrik di Kelantan membabitkan lapan jajahan dihentikan bekalan susulan banjir, setakat 6 petang tadi.

Jajahan terlibat ialah Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Kuala Krai.

TNB Careline menerusi laman Facebook memaklumkan langkah itu adalah demi keselamatan pengguna setempat.

"Sebanyak 129 pencawang elektrik di Pasir Mas dihentikan termasuk Prima Lubok Jong, Gelang Mas, Taman Lati, Meranti, Bendang Guchil, Repek, Serongga dan Mahligai.

"Di Kota Bharu melibatkan sembilan kawasan seperti G-Orange, Taman Sri Kulim, Pusat Usahawan Melor serta Taman Jaza Tok Hakim dan 15 kawasan di Machang termasuk Chekok, Tok Kaya dan Wakaf Indah," menurut TNB.

Menurut TNB, pencawang elektrik di 27 kawasan di Tumpat termasuk Teluk Jering, Pisau Raut serta Bendang Ana dihentikan bekalan manakala 22 kawasan di Bachok turut mengalami gangguan elektrik seperti Kampung Banar dan Bakong.

Di Pasir Puteh, 18 kawasan seperti Taman Jelor, Taman Puspajaya dan Bukit Gedombak ditutup bekalan elektrik manakala bagi Tanah Merah pula elektrik dihentikan di Padang Kijang, Kampung Panjang, Kusial dan Chekok Ipoh selain enam kawasan di Kuala Krai termasuk Taman Warisan, Sungai Tasang dan Laloh, menurut penyedia perkhidmatan elektrik itu.

-- BERNAMA