TUMPAT: Beberapa kawasan perkampungan di sekitar Tumpat, Kelantan masih lagi dalam keadaan kritikal susulan paras air banjir yang masih belum surut sepenuhnya.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila kawasan di Kampung Cherang Melintang khususnya yang berada berhampiran laluan sungai menyebabkan paras air sukar untuk surut.

Pemerhatian Astro AWANI pada Khamis mendapati sebahagian besar kediaman di kawasan perkampungan berkenaan masih lagi ditenggelami air.

Malah keadaan jalan yang terputus turut mengakibatkan bantuan keperluan asas juga sedikit terhalang untuk sampai ke perkampungan itu.

Banjir Kelantan | Situasi di beberapa kawasan masih kritikal


Perkara itu turut disuarakan salah seorang mangsa banjir di kawasan itu, Baharom Jaafar yang mengakui keadaan semasa menyukarkan pihaknya untuk memperoleh bantuan.

“Memang tak dapat lagi bantuan dari luar, barang nak masuk tak boleh jadi kena tunggu dulu air surut.

“Buat masa sekarang ini, terpaksa pinjam dulu bot sesiapa untuk kita usaha cari barang keperluan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Astro AWANI

Sementara itu, sekiranya keadaan banjir ini berlarutan, seorang lagi penduduk, Khamarul Azman Mustafa bimbang dengan situasi kekurangan keperluan asas di kawasan itu.

“Banjir pun baru berlaku dua tiga hari jadi bantuan memang susah nak masuk, paras air kalau terus meningkat kita bimbang juga keadaan elektrik… bahaya untuk kanak-kanak.

“Bekalan makanan buat masa ini memang cukup tapi hanya mampu bertahan untuk beberapa hari tapi jika berlarutan kita terpaksa harapkan pihak berkenaan untuk hantar jugalah,” katanya.
LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI



Selain itu menurut penduduk, kesemua kelengkapan barangan juga habis ditenggelami air tanpa sempat berbuat apa-apa.

Itu nasib yang menimpa Mohd Junoh selain terpaksa tidur di satu-satunya ruang yang tidak dinaiki air meskipun keadaan agaknya sempit.

Foto Astro AWANI

Dia yang turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan turut mengalami kerugian ekoran gerainya yang musnah selepas tenggelam sepenuhnya.

Menyedari keadannya yang dalam situasi sukar, Mohd Junoh sememangnya amat berharap bantuan daripada pihak luar untuk disalurkan ke perkampungan itu.

“Terpaksa tidur dekat luar atas bangku, itu saja tempat yang selamat, barangan elektrik semua habis rosak dah… kita nak pindah ke PPS pun risau keadaan rumah jadi duduk di rumah sajalah.

“Barang macam beras, gula, sardin, susu semua itulah kita harapkan, itulah sajalah makanan yang kita nak makan semasa banjir,” luahnya.

Foto Astro AWANI

Dalam pada itu, Che Zawawi Azhar pula terpaksa pasrah dengan keadaan banjir yang melanda di kawasan terbabit.

Dia yang mengusahakan sawah pagi turut berdepan kerugian antara RM30,000 hingga RM40,000 selepas bendang berkeluasan 18 ekar. 

“Nak buat kerja lain pun susah sebab kereta, motosikal semua pun rosak dah… sekarang tersadai di bengkel… susah sedikit nak bergerak lagipun memang tiada laluan yang sesuai,” katanya.

Keadaan di Kampung Cherang Melintang ketika ini hanya mampu dilalui sepenuhnya menggunakan bot atau sampan.

Bukan tidak boleh menggunakan kenderaan darat, namun pergerakan hanya mampu melepasi beberapa kawasan akibat laluan yang masih terputus selain perlu mengelakkan daripada risiko kenderaan tersadai.