ALOR SETAR: Penduduk di Kampung Seberang Anak Bukit dan Alor Madi, Kota Setar, di sini antara yang terkesan akibat bencana banjir.


Ringkasan AI
  • Penduduk di Kampung Seberang Anak Bukit dan Alor Madi terjejas teruk akibat banjir, dengan air mencecah sehingga lima kaki di beberapa kawasan.
  • Ramai penduduk menghadapi kesukaran untuk mendaftar di PPS kerana kapasiti penuh, memaksa mereka mencari PPS yang lebih jauh.
  • Penduduk berharap agar syarat untuk mendapatkan bantuan dipermudahkan, terutama bagi warga emas dan mereka yang uzur.


Bagi mereka dan mangsa banjir lain, ini ujian daripada Yang Maha Esa untuk dihadapi dengan reda walaupun perit untuk ditelan.

Kebanyakan rumah penduduk di sini  telah ditenggelami air - ada sehingga mencecah lima kaki dan sebahagian bawah rumah mereka sudah dimasuki bah.

Tetapi ada yang memilih berada di rumah sendiri memandangkan kebanyakan kediaman adalah dua tingkat.

Namun, cerita berbeza bagi segelintir penduduk yang memilih untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beberapa individu yang ditemui Astro AWANI mendakwa pihak pengurusan PPS ‘mengehadkan’ jumlah mangsa sehingga memaksa mereka berdaftar di PPS yang lebih jauh, antara tujuh dan lapan kilometer dari kampung.

“Ya, kami berdepan masalah sama sebab sini (Sekolah Kebangsaan Taman Aman) pun penuh.

“… yang satu lagi itu jauh, terletak dekat pekan. Alasan situasi ini mungkin sebab sekolah banyak tak buka (untuk PPS),” kongsi pemandu lori, Basyhir Helmi Ismail, 29, kepada Astro AWANI ketika ditemui di kampungnya hari ini.

Basyhir Helmi Ismail

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Din juga meluahkan perkara sama.

Dakwanya, sudah tiga kali dia cuba mendaftar di PPS tetapi semua yang dikunjungi belum lagi berjaya diterima masuk.

“(Isunya) jauh satu hal… dan bila kita pergi PPS lain contohnya sekolah lain, sekolah itu pun dah penuh.

“Dulu, kita pergi banyak mana pun (mangsa), mereka terima. Tapi tahun ini ia serentak (mangsa pergi), khemah pun tak cukup… Itu yang mungkin mereka tak terima,” kongsinya.

Bagi ahli perniagaan, Shahrill Ibrahim, 36, pula, dia memilih untuk menyewa di inap desa kerana PPS lain terletak jauh sedikit dari kampungnya.

Shahrill Ibrahim

“(PPS didakwa) hadkan dan mengutamakan warga emas atau yang uzur.

“Kalau penuh di PPS SK Taman Aman, mereka suruh pergi PPS SK Gunong tetapi penuh juga. PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Convent saya tak pasti.

“Bantuan itu tengoklah macam mana… kita penting selamatkan diri kita dulu,” katanya.


Longgar syarat bantuan

Warga emas, Azmi Ahmad, 77, pula berharap agar pihak berkaitan memudahkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan tidak meletakkan ‘terlalu banyak’ syarat.

Ia antaranya termasuk perlu membuat laporan polis dan berada di PPS.

Azmi Ahmad

“Bayangkan kami dari Anak Bukit nak pergi duduk PPS jauh-jauh kerana nak pergi ‘hambat’ RM1,000. Bukan besar mana pun.

“Pakcik harap longgar sikit (syaratnya) sebab ada (anak) yang emak dia sakit,” luahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung Alor Madi, Md Zamri Din memaklumkan keputusan untuk mengehadkan jumlah mangsa di PPS adalah untuk memastikan keselesaan mereka.

Md Zamri Din

“Kalau buka semua tempat.. koridor dan kalau hujan masa sedang tidur, itu lagi masalah.

“Jadi penghulu (kampung) ambil keputusan untuk pastikan keselesaan dan mudah untuk kawal,” katanya.

Setakat jam 1 tengah hari ini, angka mangsa yang berpindah ke PPS meningkat kepada 6,554 orang melibatkan 39 PPS di tujuh daerah.