ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 954 orang dari 266 keluarga pagi ini, berikutan fenomena air pasang besar yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini sejak malam tadi.

Fenomena itu turut mengakibatkan air sungai tidak dapat mengalir ke laut seterusnya menyebabkan air melimpah memasuki kediaman penduduk.

Sehingga jam 9 pagi tadi, satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Baling,  menempatkan 10 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak A.

Perkembangan tersebut dimaklumkan Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Susulan itu, jumlah PPS di Kedah kini bertambah kepada 13 di lima daerah, terdiri daripada tujuh di Kota Setar, masing-masing dua di Kubang Pasu dan Pendang, dan masing-masing satu di Pokok Sena dan Baling.

Mohd Muaz memaklumkan, daerah Kota Setar mencatatkan bilangan mangsa tertinggi setakat ini iaitu 592 orang dari 174 keluarga, berbanding 575 mangsa dari 170 keluarga semalam.

Beliau berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar masih kekal dengan 80 mangsa dari 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti dengan 67 mangsa dari 25 keluarga dan PPS SK Darul Hikmah dengan 118 mangsa dari 32 keluarga.

"Empat lagi PPS di Kota Setar iaitu di PPS SK Haji Wahab menempatkan 22 mangsa dari enam keluarga, PPS SK Convent seramai 87 mangsa dari 22 keluarga, SK Titi Gajah seramai 60 mangsa dari 20 keluarga dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pula menempatkan seramai 158 mangsa dari 46 keluarga," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.



Foto ihsan APM

Mohd Muaz berkata, keseluruhan mangsa banjir di Pendang pula seramai 287 orang dari 75 keluarga, terdiri daripada 206 mangsa dari 50 keluarga di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dan 81 mangsa dari 25 keluarga di PPS Dewan Cenderawasih.

Mangsa banjir di daerah Pokok Sena berkurangan apabila hanya tinggal 10 mangsa dari tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Tualang, selepas PPS di Surau Permatang Limau ditutup sepenuhnya petang semalam.

Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu pula kini tinggal 55 orang dari 14 keluarga, berkurangan daripada 80 mangsa sebelumnya, yang ditempatkan di PPS SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang (27 mangsa dari sembilan keluarga) dan di PPS SK Malau (28 mangsa dari lima keluarga).