PASIR MAS: Paras air Sungai Lachang yang mulai surut selepas banjir gelombang ketiga memberi rezeki kepada penggemar ikan sungai di sekitar Rantau Panjang apabila pelbagai spesies ikan air tawar dapat diperoleh dengan mudah di kawasan itu.

Satu pemandangan biasa untuk melihat mereka mencuba nasib menggunakan pelbagai kaedah untuk menangkap ikan sama ada memancing, memasang pukat atau menebar jala di sepanjang sungai berkenaan.

Lebih menarik, kelihatan juga pemburu ikan air tawar akan menebar jala dengan berdiri di atas "gere" (sebuah platform segi empat sama) yang dibina penduduk di tengah-tengah sungai.

Bagi Shamsul Yusof, 49, dan isteri Suraya Hamid, 36, dari Kampung Tasek Gondang, mereka datang ke kawasan dikenali penduduk setempat sebagai "culvert 10" di Pengkalan Teluk untuk menebar jala bagi menangkap ikan.

"Oleh kerana paras air sungai sudah mulai surut, aktiviti menebar jala semakin mudah apabila 'gere' yang dibina di tengah-tengah sungai sebelum banjir, akan muncul semula.

"Ada penduduk kampung yang bina 'gere' ini sebelum banjir untuk memudahkan orang menebar jala berbanding perlu berada di dalam air untuk melakukan aktiviti itu," kata Shamsul kepada Bernama di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Shamsul berkata meskipun nampak mudah, perlu ada teknik yang betul untuk menebar jala supaya hasil diperoleh setimpal dengan kudrat yang digunakan.

"Kita perlu berdiri di atas 'gere' dan tebar jala, nak tebar jala pun perlu ada teknik yang betul, saya perlu perhatikan pusaran air yang jika datang bersama ikan barulah tebaran dibuat untuk mendapatkan hasil," katanya.

Menurut Shamsul, kawasan "culvert 10" menjadi tumpuan ramai penggemar ikan sungai sejak gelombang pertama banjir apabila hampir setiap petang dapat dilihat aktiviti menangkap ikan oleh penduduk sekitar.

"Lokasi ini ada pelbagai spesies seperti ikan tengalan, toman, patin, tembakang dan baung, malah kalau bernasib baik boleh dapat udang galah," katanya.

Shamsul berkata kebiasannya ikan yang diperoleh adalah untuk dimakan sendiri dan jika ada lebih barulah dijual.

Tinjauan Bernama mendapati selain ikan air tawar bersaiz besar, penduduk turut mengambil kesempatan menyauk anak ikan seluang yang bermain-main di pusaran air deras.

-- BERNAMA