Orang ramai di sekitar bandar Kuantan dan daerah berdekatan diharap berwaspada dengan satu kumpulan pecah rumah menggunakan Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) jenis Toyota Estima berwarna hitam bernombor pendaftaran W-6097- R yang disahkan diklon.

Ini kerana pemandu dan rakan subahatnya dalam masa hanya empat jam, telah melakukan tiga pecah rumah disekitar Kuantan pada 16 November lalu.

Perbuatan jenayah itu dipercayai dilakukan pada siang hari antara jam 12.30 tengahari hingga 3.30 petang.

Polis Kuantan kini sedang giat memburu kumpulan tersebut yang dipercayai terdiri dari tiga orang suspek berusia antara 20an hingga 30an yang sebelum ini turut dilaporkan melakukan jenayah sama di daerah Rompin dan di negeri lain.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis Mohd Noor Yusof Ali berkata, rakaman CCTV mendapati mereka akan berlegar sehingga 15 minit sebelum memilih premis yang penghuninya dan jiran tiada di rumah dan akan berpura-pura menelefon tuan rumah bagi mengabui orang sekeliing dan kelihatan bersahaja.

“Dan suspek berpura-pura menghubungi pemilik rumah ketika berada di hadapan rumah yang mana rumah itu yang akan dipecah masuk.

"Jadi ini tindakan ini dilihat cuba mengaburi mata kemungkinan sesiapa yang melihat kerana cara kehadiran mereka ini tidak seperti penjenayah,” kata Mohd Noor dalam satu kenyataan.


Nilai kerugian untuk tiga kes tersebut dianggarkan bernilai RM150 ribu berupa beg tangan, jam tangan, telefon bimbit dan termasuk sebuah kenderaan SUV jenis Mazda X5 berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran CDM 6399.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih waspada dan peka sekiranya mendapati ada kenderaan atau individu yang mencurigakan berada di sekitar kediaman mereka untuk melaporkan kepada pihak polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.