Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan bedah siasat terhadap Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada malam Jumaat.
"Proses bedah siasat yang berjalan selama kira-kira tiga jam bermula jam 7.30 malam hingga 10.45 malam mendapati punca kematian akibat lemas.
"Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki berusia lapan bulan itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa bayinya disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh pengasuh taska terbabit.
Tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh itu dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis. Lebih menyedihkan, Mohd Fikry Amri berkata, isteri terpaksa membawa sendiri anaknya ke hospital dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan muka biru selepas dimaklumkan pihak taska.
Pada Sabtu seorang pengasuh wanita direman selama seminggu selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- Sinar Harian