KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di seluruh ibu negara untuk memantau kadar jenayah dan masalah kesesakan jalan raya.


Ringkasan AI
  • DBKL memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit kamera CCTV dipasang di seluruh Kuala Lumpur untuk memantau jenayah dan kesesakan lalu lintas, berbanding 5,000 unit yang ada sekarang.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pemasangan CCTV ini memerlukan kerjasama antara DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan agensi-agensi lain, dengan usaha ini dijangka dilakukan hingga RMK13.
  • Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet turut membincangkan cadangan untuk menetapkan had laju maksimum 30 km/j di kawasan sekolah bagi mengurangkan kemalangan, dengan pembinaan bonggol dilakukan oleh PBT dan pihak sekolah tanpa melibatkan peruntukan tambahan.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi berkata buat masa ini, terdapat 5,000 unit CCTV yang dipasang di seluruh bandar raya ini bagi pemantauan jenayah dan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, beliau berkata pemasangan CCTV itu tidak boleh dilaksanakan secara silo (sendirian) oleh DBKL, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Untuk itu, DBKL diberikan tanggungjawab mencari peruntukan memasang, memantau dan melakukan pemantauan. Ini penting pada hemat kami bahawa DBKL dengan kerjasama jabatan dan agensi ini memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit CCTV, ertinya dalam tempoh sekarang hingga RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) usaha ini mesti dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bilangan 2 Tahun 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JKMKKJR berkata usaha itu juga dilihat sebagai langkah modern policing bagi mengurangkan keberadaan (omnipresence) pegawai-pegawai dan anggota beruniform di bandar raya ini.

"Kita belajar daripada bandar pintar dan bandar selamat di negara lain dengan adanya CCTV berdefinisi tinggi (HD), pengecaman wajah, maka kadar jenayah, kemalangan dapat diturunkan dan juga masalah pemantauan aktiviti lain tanpa mengusik hak-hak peribadi seseorang," katanya.

Menyentuh mengenai penyuraian kesesakan trafik di Johor Bahru, beliau berkata beberapa kajian dan langkah akan segera dilakukan kementerian terlibat memandangkan projek Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura akan disiapkan pada 2027 bagi merealisasikan rancangan Greater Johor Bahru.

"Kajian segera mesti dilakukan bagi penyuraian kesesakan jalan raya ini dan beberapa langkah telah dilakukan dengan kerajaan negeri, kementerian dan jabatan peringkat nasional. Kita cadang ia dilakukan sebelum pelaksanaan kepada penyuraian setelah RTS ini disiapkan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai cadangan penetapan kelajuan maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah.

"Purata kematian ialah 67 kematian setiap tahun di kawasan sekolah. Cadangan oleh jawatankuasa ini adalah untuk menurunkan had laju kepada 30 km/j di kawasan sekolah.

"Pembinaan bonggol juga perlu disediakan tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada kementerian tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak sekolah boleh bekerjasama melakukannya," kata beliau.

-- BERNAMA