JIM dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia antara 32 dan 45 tahun masuk ke negara ini sebagi pelancong tetapi telah dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut.
"Berdasarkan maklumat aduan, kesemua mereka dilaporkan telah dikurung di premis itu dan dipukul jika enggan melayani pelanggan selain dikawal ketat oleh seorang 'kapten' warga Bangladesh dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
"Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan, selain semua pasport dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka," menurut kenyataan itu.
Dalam operasi bermula 11.23 malam itu, anggota JIM terpaksa memecahkan pintu utama kerana 'kapten' tersebut enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan sebelum ditahan.
Menurut kenyataan itu operasi turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
-- BERNAMA