Ringkasan AI
- Seorang pekerja kedai serbaneka di Menglembu dipecat serta-merta selepas video tindakannya menyimbah air panas kepada anjing tular di media sosial.
- Tindakan pekerja tersebut mendapat kritikan hebat dari warga maya dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Menglembu.
- KK Super Mart mengecam kekejaman terhadap haiwan dan bersedia menanggung kos rawatan perubatan anjing tersebut.
Kejadian itu tular pada Sabtu selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut dimuat naik di laman sosial Facebook Fauziah Paws Care.
Menerusi rakaman itu, individu berkenaan dilihat mengisi air dari mesin pemanas ke dalam cawan sebelum menyimbah ke arah anjing yang berada di pintu masuk premis.
Tindakan individu tersebut mendapat kritikan warga maya yang menyifatkan ia sebagai tidak berperikemanusiaan dan difahamkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Menglembu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, KK Super Mart dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook mengumumkan bahawa kontrak kakitangan terlibat ditamatkan serta-merta berikutan tularnya kejadian tersebut.
Katanya, pihaknya mengecam sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan serta tidak bertolak ansur dengan tindakan sedemikian.
"Kami telah menjalankan siasatan dalaman dan kakitangan yang bertanggungjawab telah dipanggil semula ke ibu pejabat Kuala Lumpur.
"Setelah semakan, kontraknya ditamatkan serta-merta. Kami juga telah menghubungi pemilik pusat penjagaan haiwan dan bersedia untuk menanggung kos rawatan perubatan haiwan tersebut," katanya. -Sinar Harian
