KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mahu menyaman dua syarikat berita, atas dakwaan membuat laporan dengan memetik sumber tidak berasas, serta mencetuskan persepsi negatif terhadap partinya.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Asyraf Wajdi berkata, beliau telah berbincang dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan peguam UMNO untuk tindakan saman itu.

Memetik laporan Malaysiakini yang diterbitkan pada pada hari ini (26 Ogos), Asyraf mendakwa, laporan itu fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO.

“Selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya berada dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO dari awal hingga akhir.

“Apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya Mesyuarat memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah FITNAH dan BERNIAT JAHAT untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO,” katanya lagi.

 

Malaysiakini pada Jumaat menerbitkan laporan yang bertajuk "Kata dua UMNO buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat".

Beliau juga memetik laporan Astro AWANI bertajuk “Majoriti Ketua Bahagian UMNO tolak usul desak PM campur tangan kes SRC – Sumber” yang diterbitkan pada 22 Ogos lepas.

Artikel Astro AWANI ini memetik sumber dalaman yang mendedahkan, ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.

“Begitu juga kepada Awani yang turut membuat berita fitnah tempoh hari kononnya Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO ada mendesak untuk PM campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC.

“Malaysiakini dan AWANI seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif,” tambahnya.