Menurut Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zoraida Mustafa, sejak dasar pandang ke timur diperkenalkan 37 tahun lalu, Malaysia sudah membangun dengan pesat secara fizikal, khususnya dalam bidang teknologi.
Namun, katanya apa yang masih kurang diberi perhatian adalah pembangunan kemanusiaan.
"Apabila kita bercakap mengenai Jepun, mereka sangat memberi penekanan terhadap pembangunan kemanusiaan.
"Ia tidak berlaku dalam sehari. Tetapi mereka sudah menerapkan dalam pendidikan sejak 200 tahun dahulu.
"Falsafah menteri pendidikan mereka adalah, Jepun tidak boleh menjadi negara maju sekiranya rakyat berada di minda kelas ketiga," katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, nilai utama yang diamalkan Jepun dipanggil 'Omoiyari', iaitu konsep interaksi antara masyarakat yang memiliki nilai seperti bertimbang rasa, belas kasihan dan perasaan empati.
"Sebab itu kalau kita tengok orang kata orang jepun menepati waktu, orang jepun pembersih, orang jepun sangat cermat buat kerja..
"Tetapi dari mana asalnya ketepatan waktu itu? dari mana asalnya kebersihan itu? Asalnya adalah dari satu perasaan untuk memudahkan orang lain," kata Dr Zoraida.
Tambahnya lagi, budaya ini sudah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat, termasuk pemimpin dan peniaga di Jepun.
"Apa yang saya boleh kongsikan, Jepun bukan negara Islam, tetapi hal cuti membesarkan anak diberi dua tahun cuti dengan gaji berbayar.
"Kenapa? Mereka percaya dua tahun pertama anak itu adalah sangat penting untuk kesihatan anak. Mereka percaya ini adalah untuk pembangunan negara, kerana anak-anak ini akan membawa negaranya ke depan lagi, dan syarikat mengambil inisiatif ini," katanya.
Jelas Dr Zoraida, semuanya bermula dengan diri sendiri, dan apabila berbincang tentang pembangunan negara, apa yang perlu diutamakan mengenai sebarang keputusan adalah bagi kebaikan rakyat.