Empat perkara asas itu pastinya melegakan pembayar cukai taksiran sekiranya ia dilaksanakan dengan baik oleh PBT.
Kampung Temiang, Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Paloh; tiga kampung yang terletak kurang 10 kilometer dari pusat bandaraya Ipoh, yang berada di dalam DUN Tebing Tinggi, Parlimen Ipoh Timur.
Namun, ia tidak seindah tengah pusat bandar raya Ipoh apabila masalah perparitan di kampung itu seolah-olah tiada penyelesaian.
Zolkiflee Othman berkata dia terpaksa mengerahkan keringat, wang dan masa lantaran Dewan Bandaraya Ipoh (DBI) gagal melakukan kerja-kerja pembersihan longkang.
"Inisiatif, daya usaha, duit semua saya korbankan untuk bersihkan longkang. Jika tak boleh guna mesin rumput milik saya, saya akan gunakan pencakar. Mesin rumput milik saya sendiri yang dikorbankan untuk membersihkan longkang dan pelbagai lagi.
"Tapi bukan apa, kami ini sebagai pembayar cukai pintu dan cukai tanah, mereka (DBI) masih lagi tidak bersihkan. Tak boleh la macam tu.
"Bila kita dah bayar cukai pintu dan cukai tanah, pihak DBI mesti bersihkan," ujarnya ketika ditemui Astro AWANI.
Malah, dia khuatir jika air yang bertakung di dalam longkang itu akan menjadi punca pembiakan nyamuk aedes yang bukan akhirnya impak kepada keseluruhan penduduk sekitar.
Setiausaha JKKK Kg Tebing Tinggi, Safuan Othman yang turut mengeluh isu yang sama mengakui telah menerima surat daripada pihak DBI, yang hanya menyatakan dalam proses dan tindakan lanjut.
"Memang sudah beberapa tahun masalah ini, dari dulu lagi. Senggaraan daripada PBT itu tak mengikut kumpulan.
"Cuci longkang kumpulan lain, potong rumput kumpulan lain. Ini semua saya boleh anggap seperti 'buat kerja tak habis'. Memang dari dulu macam itu.
"Selalunya, apabila longkang tersumbat dan kemudian hujan lebat, jadi akan berlakunya banjir kilat. Entah sampai bila nak tunggu," katanya.
Malah, Ahli JKKK Kg Tebing Tinggi, Nor'aini Adan mempersoalkan mengapa apabila kerja-kerja pembersihan longkang tidak dilakukan pada hari atau minggu yang sama dengan kerja-kerja pemotongan rumput.
"Katakan hari ini pekerja kontraktor DBI mesin rumput, kumpulan yang satu lagi yang membersih longkang tidak dilakukan pada hari yang sama atau pada minggu yang sama.
"Mereka akan datang dua tiga bulan, jadi rumput dah tumbuh dan longkang masih tidak dibersihkan lagi. Nanti bila kumpulan yang datang cuci longkang, rumput dah tinggi, jadi air dalam longkang bertakung," ujarnya.
Justeru, mereka berharap isu asas melibatkan PBT ini diselesaikan tanpa kerenah birokrasi dan menambahbaik proses perparitan di kawasan itu.