KUALA LUMPUR: Inisiatif Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Kerajaan Negeri  dalam menyediakan Anjung Komuniti di kawasan berisiko tinggi (KBT) harus dijadikan contoh.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu sebagai alternatif untuk merealisasikan usaha pengurangan KBT yang berfungsi sebagai hub, pusat aktiviti serta operasi harian melibatkan kesemua rakan strategik, pemimpin dan komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Kumpulan Penggerak KBT.

“Objektif pewujudan Anjung Komuniti adalah untuk menggembling peranan dan tanggungjawab serta memperkasa jalinan kerjasama semua pihak melalui jawatankuasa berkenaan.

“Selain itu, Anjung Komuniti turut menyedia maklumat antidadah dan aktiviti pencegahan dadah serta perkhidmatan kaunter khidmat nasihat, rujukan advokasi bagi mengukuhkan rasa selamat penduduk setempat.

“Seterusnya, Anjung Komuniti turut dijadikan pusat penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti kepada klien dan ahli keluarga yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Program Jom Singgah @ Anjung Komuniti Sungai Ara di Bayan Lepas pada Selasa.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, setakat ini AADK Pulau Pinang mempunyai enam Anjung Komuniti meliputi tiga di Daerah Seberang Perai Tengah dan masing-masing satu di Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Barat Daya serta Daerah Timur Laut.

“Di Daerah Seberang Perai Tengah diwujudkan di Anjung Komuniti Guar Perahu, Anjung Komuniti Kuala Mengkuang dan Anjung Komuniti Bukit Teh manakala Anjung Komuniti Bakau Tua di Daerah Daerah Seberang Perai Utara.

“Selain itu, di Daerah Barat Daya di Anjung Komuniti Sungai Ara dan Daerah Timur Laut di Anjung Komuniti Desa Mawar,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan AADK menyasarkan 75 peratus atau 117 daripada 155 KBT penagihan dadah yang dikenal pasti di seluruh negara bertukar status pada tahun ini.

Katanya, berdasarkan laporan sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 32 KBT berjaya ditukar status kepada hijau pada tahun ini manakala tujuh lagi kawasan yang disasarkan masih berstatus kuning.

Beliau menambah keseluruhannya 39 KBT sudah berstatus Kawasan Berisiko Rendah (KBR) penagihan dadah manakala 39 lagi KBT berstatus pengekalan.