IPOH: Seorang anggota tentera cedera dipukul sekumpulan penyokong ketika perlawanan bola sepak di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata ketika kejadian kira-kira 7.15 malam itu, mangsa yang berusia 26 tahun sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Unit Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (Paskal).

Beliau berkata mangsa mendakwa penyokong Paskal telah memukulnya kerana tidak berpuas hati dan menuduhnya menunjukkan isyarat lucah sedangkan dia tidak berbuat demikian.

"Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala serta menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya mangsa telah membuat laporan polis pada Selasa lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Mohamed Nordin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sjn Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA