Anak kepada pemilik sebuah rumah kedai maut dalam kebakaran di Taman Sutera Jaya, Jalan Kuala Ketil, di sini, pagi ini.

Mangsa, Mohd Shahril Azwan Abdullah, 29, dijumpai tidak sedarkan diri di dalam tandas tingkat bawah rumah kedai itu oleh sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sungai Petani yang menjalankan operasi pemadaman.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kedah, Nur Hafizah Mohamad Lokman berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.27 pagi.

Sejumlah dua pegawai dan 14 anggota terlibat dalam operasi terbabit yang turut melibatkan sebuah lori tangki air dan jentera Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) yang tiba 15 minit kemudian.

"Tindakan pemadaman dan mengeluarkan mangsa telah dilakukan, pengesahan dari pihak hospital juga memaklumkan mangsa telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Nur Hafizah berkata, api dapat dikawal kira-kira jam 6.46 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai selepas terhidu asap tebal dan terperangkap di dalam tandas.

"Kita berjaya mengawal kebakaran ini, namun api yang marak memusnahkan 40 peratus rumah kedai berkenaan," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya. - BERNAMA