Kebakaran bermula kira-kira 10.50 pagi di Hotel Banyan Tree yang sedang dalam pembinaan, dipercayai berpunca daripada bahan penebat yang diletakkan berhampiran kolam renang di tingkat satu, menurut ibu pejabat bomba Busan.
Anggota bomba menyelamatkan mereka yang terperangkap menggunakan helikopter, tetapi enam orang disahkan meninggal dunia. Seramai 14 yang lain diselamatkan dari bumbung, manakala lebih seratus pekerja dipindahkan.
"Kami sedang meneruskan pencarian di dalam bangunan," kata seorang pegawai bomba. "Polis dan pihak berkuasa tempatan masih menentukan jumlah sebenar pekerja (yang berada di dalam bangunan)."
Pihak berkuasa menaikkan tahap tindak balas kebakaran ke Tahap 2 daripada sistem tiga peringkat berikutan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah mangsa.
Ratusan pekerja dilaporkan berada berhampiran tapak kejadian ketika kebakaran berlaku.
Pemangku Presiden Choi Sang-mok mengarahkan semua anggota dan peralatan yang ada dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat.
"Pastikan operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara menyeluruh bagi mengelakkan lebih banyak korban, sambil mengutamakan keselamatan anggota bomba," kata Choi.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)