KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada negara-negara kecil supaya mengambil tahu mengenai situasi yang berlaku di Asia Barat.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, sekiranya negara-negara kecil diceroboh dan rakyatnya dibunuh beramai-ramai, mereka boleh jangkakan bahawa tiada bantuan daripada mana-mana pihak.

"Terdapat mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan resolusi yang baik akan dibuat.

"Tetapi negara penceroboh akan mengabaikan PBB dan terus membunuh. Inilah 'dunia baharu' yang ribuan dan jutaan anak muda telah pun menggadai nyawa mereka," kata beliau dalam hantaran terbaharu di media sosialnya, pada Sabtu.

Konflik Asia Barat semakin meluas dengan pencerobohan rejim Zionis Israel di Gaza dan Selatan Lubnan yang disokong sekutu kuatnya Amerika Syarikat.

Rakyat Palestin yang syahid akibat pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis di Gaza meningkat kepada hampir 43,000 orang dengan lebih 93,000 yang cedera.

Situasi di Gaza turut menyebabkan krisis kelaparan dan kebuluran serta menyebabkan rakyatnya terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat pencerobohan dan pengeboman Zionis.

Manakala di Lubnan angka korban angka korban telah meningkat kepada lebih 2,000 orang akibat pencerobohan darat tentera Israel di bahagian selatan.

Konflik Asia Barat juga disertai Iran yang melancarkan peluru berpandu pada April dan awal Oktober lalu selepas beberapa kali Israel melakukan provokasi terhadap Tehran.