KAZAN, RUSIA: Negara anggota BRICS menggulung Sidang Kemuncaknya Ke-16 dengan menerbitkan deklarasi yang mengandungi 134 perkara.

Ia termasuk gesaan penstrukturan semula institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gencatan senjata dalam konflik Asia Barat.

Dalam deklarasi tersebut, sembilan negara anggota kesatuan itu menegaskan, reformasi PBB perlu bermula dengan Majlis Keselamatannya.

"Kami mengulangi sokongan kami terhadap pembaharuan menyeluruh PBB termasuk Majlis Keselamatannya, dengan tujuan menjadikannya lebih demokratik, inklusif, cekap dan efisien.

“Ini termasuk dengan memperluaskan perwakilan negara membangun untuk memberi respon yang lebih baik terhadap cabaran global,” kata kenyataan itu.

BRICS turut menerima baik minat negara selatan global untuk menyertai kumpulan itu, sambil mengalu-alukan kewujudan kerjasama ekonomi yang lebih pelbagai.

Ia turut menggesa komuniti antarabangsa meningkatkan pendekatan multilateralisme demi mewujudkan sistem global yang lebih adil.

Turut terkandung dalam resolusi tersebut adalah gesaan gencatan senjata segera dalam perang di Gaza dan Ukraine.