NEW DELHI: India pada Sabtu menyuarakan kebimbangannya terhadap "perkembangan di Asia Barat" susulan serangan udara Israel ke atas kemudahan tentera di Iran.

Dalam kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar India, tidak disebutkan secara langsung mengenai Iran atau Israel, dua negara yang mempunyai hubungan erat dengan India.

"Kami sangat bimbang terhadap peningkatan konflik di Asia Barat dan kesannya terhadap keamanan dan kestabilan di rantau itu dan sekitarnya. Kami sekali lagi menggesa semua pihak yang terlibat supaya mengawal diri dan kembali ke meja rundingan serta diplomasi.

"Permusuhan yang berterusan tidak menguntungkan sesiapa pun, apatah lagi tawanan yang tidak bersalah dan penduduk awam terus menderita. Perwakilan kami di rantau ini sedang berhubung dengan komuniti India," kata kementerian itu.

Serangan Israel itu telah mencetuskan kecaman hebat di seluruh dunia, dengan negara jiran Iran seperti Turkiye dan Pakistan mengecam tindakan rejim Zionis yang didakwa melancarkan serangan genosid di Palestin serta cuba mencetuskan konflik ketenteraan lebih luas di rantau berkenaan.

-- BERNAMA