Ringkasan AI
- Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken, menegaskan komitmen AS untuk mencegah penularan konflik di Asia Barat, terutamanya di Gaza, melalui pendekatan pencegahan dan diplomasi.
- Situasi di Gaza terus menjadi fokus utama Washington, dengan usaha intensif dijalankan setiap hari untuk mencegah konflik daripada merebak ke tempat lain.
- Blinken juga menekankan komitmen AS untuk memastikan keamanan dan memberikan bantuan di kawasan yang terjejas oleh konflik.
Blinken malah berkata bahawa situasi di Asia Barat, terutamanya konflik di Gaza, terus menjadi fokus utama Washington.
"Walaupun saya tidak ingin bercakap bagi pihak negara lain, namun situasi di rantau Asia Barat terus menjadi tajuk perbincangan dalam banyak pertemuan kami di sini.
“Wujud kebimbangan mendalam di seluruh kawasan terlibat mengenai pelbagai isu, tetapi yang paling utama adalah usaha untuk mencegah konflik di Gaza daripada merebak ke tempat lain,” tegasnya.
Blinken berkata demikian semasa dalam satu pertemuan bersama delegasi media antarabangsa di American Center Vientiane di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Blinken berada di Vientiane bagi mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak AS-ASEAN.
Blinken antara lain berkata, Amerika Syarikat terus memberikan tumpuan yang intensif untuk mencegah konflik ini daripada melarat dan usaha ke arah itu dijalankan setiap hari.
“Kami bekerja dengan pelbagai pihak, termasuk di Lubnan, Israel, dan Iran, serta pihak lain yang terlibat dalam isu ini.
“Malangnya, terdapat juga apa yang disebut sebagai 'Axis of Resistance' yang dipimpin oleh Iran yang berusaha mencipta lebih banyak konflik di lokasi lain,” jelasnya lagi.
Untuk itu, Blinken menekankan bahawa AS sedang berusaha keras melalui pendekatan pencegahan dan diplomasi untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Blinken juga terus menekankan komitmen Amerika Syarikat bagi memainkan peranan dalam memastikan keamanan dapat dicapai, sekali gus menghulurkan bantuan yang diperlukan di kawasan yang terjejas oleh konflik.
Konflik yang berlarutan di rantau Asia Barat yang mula dicetuskan rejim zionis terutamanya di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu telah mengorbankan lebih 42,000 mangsa dan menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Selain itu, kezaliman yang berterusan ini menyebabkan penduduk di Gaza berdepan risiko kebuluran dan jangkitan penyakit berjangkit yang disebabkan konflik berlarutan ini.