Baginda bertitah pasukan khas itu dilihat sebagai satu keperluan berikutan ramai anggota pasukan keselamatan dari luar daerah dan negeri, perlu diambil bertugas setiap kali berlakunya insiden lemas dan seumpamanya.
"Sudah sampai masanya Pahang mempunyai pasukan khas buat SAR. Kita tahu hotspot ini di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, jadi kita kena kerah anggota dari beberapa daerah dan negeri baharu dapat mempercepat operasi.
"Sekurang-kurangnya (kewujudan pasukan khas) dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ini panjang. Satu lagi buatlah notis, papan tanda peringatan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing lebih berwaspada," titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikan ketika berangkat melihat operasi mencari dan menyelamat seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor Murdani Ab Rahman, 53, yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah juga menasihati pemancing serta orang ramai supaya tidak ambil mudah dengan persekitaran dan sungai termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tidak mudah tergelincir.
Baginda tiba pada 1 tengah hari untuk melihat sendiri operasi SAR terbabit serta bertemu dengan ahli keluarga mangsa serta menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku.
"Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemukan Cikgu Murdani.
"Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras," titah baginda.
Operasi SAR guru penolong kanan kokurikulum itu bermula pukul 8 malam tadi membabitkan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bersama agensi penyelamat daerah Maran, seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia dan komuniti setempat.
Bagaimanapun, operasi itu terpaksa ditangguhkan pada 9.30 malam berikutan faktor cuaca tidak mengizinkan dan bersambung 8 pagi tadi dengan melibatkan pertambahan bantuan sumber manusia dan aset agensi penyelamat lain.
Dalam pada itu, menurut kenyataan JBPM negeri, operasi kira-kira pukul 3.30 petang tadi membabitkan pecahan empat kumpulan pencarian dan sektor pencarian diperluas hingga 40 kilometer.
-- BERNAMA