CYBERJAYA: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) ke-25 di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan Canselor MMU Tun Zaki Tun Azmi sebagai menghargai  komitmen baginda berdua terhadap kecemerlangan pengurusan negara dan pengiktirafan tertinggi kepada tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah ijazah kehormat itu satu pengiktirafan bukan sahaja kepada baginda berdua malahan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara, khususnya sepanjang tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Baginda turut menyeru para graduan untuk sentiasa menuntut ilmu walaupun sudah menggenggam ijazah kerana belajar sepanjang hayat adalah asas untuk kekal relevan dalam dunia yang sentiasa berubah.

"Jangan pernah merasa puas dengan apa yang telah dipelajari kerana ilmu ibarat 'laut yang tidak bertepi'.

 "Dunia hari ini amat dipengaruhi oleh kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi digital. Jadilah individu yang celik teknologi dengan mempelajari cara menggunakan alat ini secara bijaksana untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam titahnya turut menyentuh isu buli serta penyalahgunaan dadah dalam kalangan mahasiswa dan golongan muda di negara ini.

Baginda bertitah perbuatan buli amat membimbangkan sehingga boleh membawa maut, dan kesannya juga tidak terhenti di situ sahaja malah individu yang terlibat dalam perbuatan buli, sama ada sebagai pelaku atau mangsa sering membawa kesan trauma itu sehingga ke alam dewasa.

"Lebih memburukkan, mereka yang biasa membuli berpontensi menjadikan tingkah laku ini sebagai tabiat atau 'habit' yang sukar dibendung termasuk di tempat kerja atau dalam kehidupan sosial.

"Ini (buli) bukan sahaja merosakkan individu tetapi juga mengancam keharmonian masyarakat. Jika dibiarkan berlarutan, kita akan kehilangan modal insan yang berpotensi besar.

 "Universiti sepatutnya menjadi tempat pembentukan sahsiah yang positif bukan medan perpecahan akibat gejala sosial seperti ini," titah baginda. 

Sementara itu, Tunku Azizah bertitah sesungguhnya ini detik amat bersejarah, belum pernah suami dan isteri bersama bergandingan menerima ijazah doktor kehormat. 

"Kami amat berterima kasih dan sukacita dikurniakan penghormatan ini," titah Tunku Azizah.

​​​​​​Dalam pada itu, Tun Zaki berkata MMU amat berbesar hati dengan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kerana ia sejajar dengan komitmen universiti terhadap amalan pengurusan yang baik.

"Persembahan yang berprestij ini mengiktiraf kepimpinan luar biasa baginda berdua dalam pentadbiran dan tadbir urus yang telah memberikan sumbangan besar kepada kestabilan serta kemakmuran negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan baginda berdua," katanya.

Seramai 3,657 graduan diraikan dalam konvokesyen kali ini yang diadakan selama tiga hari hingga Isnin.

Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai 40 pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menerima skrol masing-masing selepas menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

-- BERNAMA