Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, di sini sempena ulang tahun ke-80 Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Keberangkatan Seri Paduka disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Seri Paduka berserta 6,000 jemaah kemudiannya mendengar khutbah bertajuk 'ATM Perkasa Kedaulatan Terpelihara' yang disampaikan Pengarah Kor Agama ATM Brig Jen Datuk Mustapha Abd Manap.

Mustapha dalam khutbahnya menyeru masyarakat agar sentiasa mengenang dan mengingati jasa anggota ATM yang banyak mencurah bakti demi memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara sehingga rakyat boleh hidup dalam keadaan aman dan ekonomi kekal kukuh.

Hari ATM disambut setiap 16 Sept sempena memperingati penubuhan angkatan itu pada 1933.