KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan rumah baharu sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada asnaf.

Keberangkatan Seri Paduka pada 3.05 petang di Kampung Alur Ladang, di sini diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta adinda-adinda baginda.

Seri Paduka berdua turut meluangkan masa menyantuni penerima rumah berkenaan Norahati Embong, 65, yang berkerusi roda akibat angin ahmar sejak 2020, dan akan menetap di rumah itu bersama dua adiknya Norizan, 63, dan Norshahida, 43.

Sementara itu, Norshahida yang mewakili kakaknya ketika ditemui pemberita berkata beliau amat terharu dengan keprihatinan baginda yang sanggup mencemar duli menyerahkan sendiri kediaman berkenaan kepada mereka sekeluarga.

"Pada tahun lepas sekitar bulan puasa juga, baginda ada berkunjung ke Kampung Baru (Beserah) tempat tinggal lama kami, dan tengok keadaan kakak (Norahati) yang terlantar, saya juga ada memaklumkan rumah kami bertangga (jadi) sukar untuk bawa kakak ke klinik.

"Justeru baginda titah supaya MUIP mencari tapak sesuai untuk bina rumah, malah sering memantau proses pembinaannya..., ini tentunya rezeki yang tidak pernah terlintas untuk kami terima dan hadiah hari raya yang sangat bernilai," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam itu.

Norshahida yang menjadi tulang belakang keluarga itu berkata setelah berhenti kerja beberapa tahun lepas dari sebuah syarikat perumahan, dia kini menjual kuih sepenuh masa bagi menampung perbelanjaan mereka tiga beradik yang belum berkeluarga.

Rumah berkeluasan 20 x 33 kaki persegi bernilai kira-kira RM90,000 itu mempunyai tiga bilik tidur, bilik air dan dilengkapi perabot serta barang elektrik.

Dalam kunjungan hari ini, Seri Paduka berdua dan anakanda turut beramah mesra dengan penduduk setempat selain mengurniakan sumbangan kepada lebih 10 asnaf.

-- BERNAMA