SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) belum memutuskan representasi kedua Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menggugurkan dua pertuduhan menghasut terhadapnya berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Timbalan Pendakwa Raya Abd Malik Ayob memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin hari ini.

"Pihak pendakwaan memohon masa sebulan berikutan AGC masih mempertimbang representasi berkenaan," katanya.

Ini merupakan representasi kedua Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Kedah itu selepas yang pertama ditolak oleh AGC pada Mei lepas.

Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi memohon pertuduhan terhadap anak guamnya ditarik balik selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah itu.

"Telah diketahui umum bahawa anak guam saya menulis sepucuk surat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk memohon ampun dan maaf dan terdapat jawapan daripada baginda. Diketahui umum bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah memberi pengampunan kepada anak guam saya," katanya.

Abd Malik berkata walaupun Sultan Selangor telah memberi pengampunan, AGC masih memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Peguam pemerhati Datuk Seri Salehuddin Saidin pula mengesahkan terdapat jawapan bertulis daripada Sultan Selangor yang berkenan memberi pengampunan kepada Muhammad Sanusi.

Aslam bagaimanapun berkata semua pihak perlu menunggu keputusan AGC terlebih dahulu berhubung representasi itu dan menetapkan 25 Okt untuk sebutan kes.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan baginda mempertimbang dan menerima permohonan ampun dan maaf itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut dan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Feb lepas untuk dibicarakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam 11 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA