KUALA LUMPUR: Status representasi ketiga yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat masih belum dimuktamadkan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Semasa prosiding di hadapan Hakim, K Muniandy, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, dalam prosiding lalu, pendakwaan mengesahkan bahawa status permohonan Rosmah, 73, berhubung kes terbabit berada di peringkat akhir untuk diputuskan.

Bagaimanapun, beliau berkata, memandangkan kes ini melibatkan isu semakan dengan pihak LHDN, maka prosedur terbabit memerlukan masa untuk disediakan.

Selepas mendengar perkara itu, mahkamah menetapkan 11 Oktober ini bagi hujahan permohonan Rosmah untuk membatalkan semua pertuduhan terhadapnya.

Sementara itu, peguam, Joshua Tay yang mewakili wanita terbabit, memberitahu bahawa mahkamah telah memberi pengecualian kehadiran tertuduh ke mahkamah bagi prosiding pengurusan kes ini.

Untuk rekod, ini merupakan representasi ketiga Rosmah, selepas mengemukakan permohonan tersebut buat kali pertama dan kedua masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas.

Bagaimanapun, sehingga kini, kesemua permohonan terbabit belum diputuskan pihak AGC.

Isteri bekas Perdana Menteri itu juga memfailkan permohonan untuk dibebaskan dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan pada 4 Oktober 2020 lalu.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion. - Sinar Harian