Beliau berkata penelitian itu berhubung tafsiran terma "safeguard" mengenai perlindungan Perlembagaan kepada Sarawak dan Sabah yang terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 (IGC Report).
Sharifah Hasidah berkata perkara berkenaan dimaklumkan semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 12 Sept lepas.
"Selepas itu, perbincangan akan diadakan semula di antara Jabatan Peguam Negara dengan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah," katanya ketika menjawab soalan Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Pada 10 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata pelaksanaan bagi pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berikutan perlu meneliti beberapa aspek perundangan sebelum dapat dipinda di Dewan Rakyat.
Isu tuntutan pertambahan kerusi Parlimen dibincangkan dalam mesyuarat MTPMA63 pada September lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali terakhir persempadanan semula kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi.
-- BERNAMA