KUALA LUMPUR : 'Setuju untuk tidak bersetuju'.

Sabah tegas dengan pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk rundingan berkaitan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) dan pelantar benua.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh dalam kenyataan pada Sabtu memberitahu, TSA 2012 adalah tidak terpakai ke atas wilayah Sabah dan pelantar benua turut kekal berada di dalam wilayah berkenaan seperti yang telah diisytihar dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

"Tuntutan berkenaan telah direkodkan secara rasmi dan tidak boleh dirunding di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 12 September 2024.

"Walau terdapat perkembangan yang signifikan dalam Majlis MA63 berkenaan tuntutan dan hak-hak negeri yang lain, tuntutan berkenaan TSA 2012 dan pelantar benua masih kekal dalam senarai 'setuju untuk tidak bersetuju'," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan bahawa perkara-perkara ini akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, Jabatan ini akan kekal komited dalam mempertahan pendirian kerajaan negeri Sabah dalam perkara itu secara berterusan.

Sementera itu, mengulas berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan Jabatan untuk bertindak sebagai amicus curiae dalam kes mengenai tuntutan laut wilayah baru-baru ini, jabatan ini menghormati sepenuhnya keputusan hakim Mahkamah Tinggi tersebut.

"Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) juga telah memberi sokongan kepada Jabatan ini untuk memberikan bantuan dalam kes, namun Peguam Negara Persekutuan telah membantah perkara tersebut.

"Walau bagaimanapun, adalah budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan kami diperlukan atau tidak dalam menyelesaikan pertikaian undang-undang antara kedua-dua pihak ini," ujar beliau lagi.

Dalam kes itu, kata beliau, mahkamah telah membuat keputusan yang sebaliknya. Walaupun dengan keputusan tersebut, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan terus ikhlas menawarkan sokongan untuk memberikan pandangan perundangan rasmi negeri berkenaan dengan perkara tersebut yang melibatkan kepentingan awam.

Jabatan itu juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dengan teliti.

"Seperti yang dinyatakan juga dalam keputusan mahkamah, masih lagi terbuka bagi kerajaan Negeri untuk melibatkan diri sebagai pihak dalam prosiding undang-undang tersebut, dan pilihan ini akan dipertimbangkan dengan teliti bersama semua pilihan yang lain bergantung kepada keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mengenai perkara ini," tambah Datuk Brenndon menerusi kenyataan sama.