KUALA LUMPUR: Peruntukan interim kepada Sabah dan Sarawak yang dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan dijangka merancakkan lagi usaha pembangunan infrastruktur di dua wilayah berkenaan.

Pensyarah Kanan Pembangunan Manusia & Politik Identiti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Romzi Ationg berkata infrastruktur seperti jalan raya dan elektrik di Sabah dan Sarawak disifatkan masih lagi ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, mengambil kira keluasan di dua wilayah berkenaan, dana yang lebih besar diperlukan untuk mengatasi masalah-masalah keseimbangan pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Jadi peranan Kerajaan Persekutuan itu amat diperlukan.

"Dengan adanya penyediaan hal-hal yang dinyatakan itu, Sabah dan Sarawak mungkin setidak-tidaknya (dapat menikmati) pembangunan yang setara dengan Semenanjung Malaysia," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Romzi menambah perlu ada satu mekanisme khusus termasuk pemantauan dan kaedah pemberian dalam memastikan penyaluran dana ke Sabah dan Sarawak tidak disalahgunakan.

Ia sekali gus, katanya dapat menjamin sasaran sebenar seperti mengatasi isu kemiskinan dan ketidakseimbangan dalam kontek sosial ekonomi di dua wilayah itu dapat direalisasikan.

Selain itu, beliau juga berharap usaha untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilakukan secara menyeluruh.

"Kita melihat kesungguhan Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim) antara buktinya adalah dengan memastikan tuntutan-tuntutan itu, kalau ada yang belum selesai dan beliau masih lagi berusaha untuk ke arah itu (memenuhi tuntutan).

"Pelantikan menteri melibatkan hal ehwal Sabah dan Sarawak juga membuktikan bahawa pada satu hari nanti, kalau bukan tahun ini, mungkin tahun hadapan isu tentang tuntutan ini akan dapat diselesaikan.

"Jadi itu saya yakin dan kita harap ia berjalan lancar," ujarnya lagi.

Setakat ini, empat perkara berkaitan MA63 belum diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) iaitu berkaitan sempadan laut, royalti minyak, duti setem serta tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.