Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuntutan itu, termasuk mengenai sempadan laut, royalti minyak, dan duti setem merupakan sebahagian daripada agenda yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 pada 12 September 2024 lalu di antara Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
Justeru menurutnya, kerajaan akan terus komited dalam memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.
"Mesyuarat juga memutuskan supaya tuntutan melibatkan Mineral Minyak dan Medan Minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), Hak Negeri Ke Atas Pelantar Benua dan Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum dibincangkan oleh kepimpinan peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak.
"Tuntutan mengenai duti setem pula perlu dibincangkan dalam forum yang berasingan memandangkan ia melibatkan tafsiran undang-undang dan memerlukan penelitian semula oleh pihak-pihak yang berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen pada Isnin.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perincian mengenai empat tuntutan yang belum dipersetujui dalam MA 1963 membabitkan sempadan laut, royalti minyak, duti setem dan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata, berhubung isu minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, penyelesaian secara komersial telah dipersetujui di antara PETRONAS bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sabah.
"Hasilnya, Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan PETRONAS telah ditandatangani pada tahun 2020, manakala Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Kerajaan Negeri Sabah dengan PETRONAS telah ditandatangani pada tahun 2021,"katanya.
Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan Persekutuan akan terus memantau kemajuan perbincangan mengenai semua tuntutan ini bagi memastikan penyelesaian bersama antara kementerian atau agensi berkaitan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dapat dicapai.
"Tuntutan berkaitan MA63 merupakan antara agenda yang diberikan penekanan utama Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan dengan segera,"katanya. - Sinar Harian