Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau bersama dua wartawan tempatan berdepan dengan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Bukit Song, Jalan Miri-Bintulu di sini pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 pagi itu, kenderaan dipandu Dennis dalam perjalanan dari arah pekan Long Lama menuju ke pusat Bandaraya Miri.
Menurut Dennis, setibanya di tempat kejadian, beliau tiba-tiba gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar penghadang konkrit jalan di kawasan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Kenderaan dinaiki saya bersama dua wartawan telah terbalik tetapi mujur kami tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Insiden berlaku terlalu pantas tetapi syukur kami tiga terselamat dan berjaya keluar dari kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semasa kejadian, Dennis Bersama wartawan terbabit dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu 2020 dan Tahun Baharu Cina peringkat daerah Telang Usan di perkarangan kedai pekan Long Lama pada malam Jumaat.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.