KLUANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 disahkan sudah meninggal dunia pada jam 12.30 tengahari tadi.

Perkhabaran duka itu disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di laman Facebooknya sebentar tadi.

“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian‎ Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota, YB Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk Negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan.

 

"Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, ubat tidur yang diberikan kepada beliau telah dihentikan sejak pagi Jumaat.

Allahyarham Sharifah Azizah dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini sejak hujung bulan lalu akibat pendarahan dalaman.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom selepas solat Jumaat sebelum dibawa balik untuk diberi penghormatan terakhir di kediaman beliau di Jalan Ahmad Khan, di sini. 

Pengebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu di sini, selepas Asar.