"Ibu akan cuba bantu selagi mampu dan tidak akan biarkan tanpa bantuan," kata anak sulung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin, Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar, 40.
Dia menyifatkan ibunya seorang wanita yang kuat dan tegas, tetapi dalam masa sama mudah didekati dan mesra.
Wan Mohd Hibatullah berkata Allahyarham mempunyai penyakit masalah hati sejak dua tahun lalu, yang mana 30 peratus hatinya gagal berfungsi.
"Kali terakhir bertemu Allahyarham pada petang Jumaat lalu. Saya bersamanya ada minum di tapak kabin sebelum Allahyarham ke Johor Bahru untuk bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu (27 Julai).
"Selepas program itu, ibu muntah darah dan kami membawanya ke Hospital Kluang dan ditahan selama tiga hari.
"Hari Isnin jam 2.30, petang ibu sudah dibenarkan pulang ke rumah. Tetapi lebih kurang jam 7.30 malam, adik hubungi memaklumkan ibu sesak nafas dan kami membawanya ke hospital sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Kluang, di sini, hari ini.
Wan Mohd Hibatullah dalam pada itu memohon maaf bagi pihak ibunya serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau semasa sakit.
"Saya anak Datuk Sharifah Azizah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana banyak mendoakan ibunda saya semasa dia sedang sakit.
"Saya sebagai anak ingin mengucapkan memohon maaf bagi pihak Datuk Sharifah kalau beliau ada membuat salah, silap atau apa sahaja di dalam perjuangan.
"Semoga ibu saya ditempatkan di tempat orang beriman. Sesungguhnya Allah lagi menyayanginya," katanya.
Allahyarham Sharifah Azizah meninggalkan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan serta 13 cucu.
Suami Allahyarham Abu Bakar Mohd Amin telah meninggal dunia pada tahun 2005 akibat kanser limfoma.
Allahyarham merupakan antara Ketua Wanita UMNO bahagian Kluang yang lama menjawat jawatan itu sejak 1993 sehingga kini.
Sebelum menjadi wakil rakyat DUN Mahkota, Sharifah Azizah pernah menjadi wakil rakyat DUN Penawar pada 2018 hingga 2022.