Perkara itu dikongsikan Anwar menerusi hantaran di X hari ini.
"Mendapat khabar duka akan pemergian ADUN Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. Mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, diampunkan segala dosa Almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya," katanya.
Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan dijangka dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Wanita UMNO Kluang itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat mengalami sesak nafas, pada awal pagi Selasa.
Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Anak jati Kluang itu juga pernah menyandang kerusi DUN Penawar pada 2018 hingga 2022.
-- BERNAMA