JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, akibat pendarahan dalaman.

Ketua Wanita UMNO Pontian, Hasrunizah Hassan, yang juga ADUN Pulai Sebatang berkata, Sharifah Azizah pernah dimasukkan ke hospital awal tahun ini kerana penyakit yang sama.

Hasrunizah turut dimaklumkan, beberapa hari lalu, Sharifah Azizah dirawat di wad hospital berkenaan akibat penyakit yang sama, tetapi sudah dibenarkan pulang.

"Saya tak tahu keadaan beliau (Sharifah Azizah) sama ada kritikal atau tidak. Tetapi beliau kini dirawat di ICU Hospital Kluang.

"Beberapa hari lalu, kami dimaklumkan beliau sudah dibenarkan keluar wad. Tetapi lewat petang semalam dapat maklumat beliau dimasukkan semula ke hospital selepas muntah.

"Saya mendoakan kesihatan beliau akan pulih dan sedang mendapatkan maklumat lanjut sebelum menziarahinya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Rabu.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor.

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor  2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.