KUALA LUMPUR:Sejumlah tujuh kluster baharu COVID-19 dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu sekali gus menjadikan 441 kluster masih aktif ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan ia melibatkan kluster di empat negeri iaitu di Selangor, Johor, Sarawak dan Perak.

Kluster baharu itu melibatkan tiga kluster di tempat kerja, dua kluster komuniti dan masing-masing satu melibatkan kluster keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi.

"Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Industri Serkam (246 kes), Kluster Gudang Salak Tinggi (127 kes), dan Kluster Tapak Bina Lembah Selatan (99 kes)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tujuh lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini menjadikan jumlah kluster yang tamat adalah 454 kluster.