KOTA TINGGI: Sebanyak 645 perajurit muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menamatkan Kursus Asas Tentera Laut (KATL) di Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM, Kapal Diraja (KD) Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, di sini hari ini.

Panglima Armada Barat Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun berkata kejayaan itu membuktikan bahawa mereka layak berkhidmat dalam TLDM sekali gus memegang amanah serta tanggungjawab bagi mempertahankan kedaulatan negara.

"Seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi dan keyakinan kepada perajurit muda ini selaku perwira yang sedia berkorban untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

"Biarpun ia satu amanah yang sangat besar, namun saya yakin dengan semangat juang tinggi dan komitmen padu, anda mampu untuk memikul tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

"Jadikan juga keutamaan dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara sebagai matlamat dan pedoman anda semua," katanya ketika berucap pada upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Siri 227/24 hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada perajurit muda agar mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang cabaran yang bakal dihadapi dalam ketenteraan. 

"Banyak lagi cabaran dan latihan yang bakal ditempuh selepas ini, ia asam garam sebagai anggota tentera untuk membentuk kecekalan dalam diri.

"Saya percaya, segala latihan yang diterapkan telah berjaya mentransformasikan sifat serta minda daripada seorang individu awam kepada seorang anggota tentera berkaliber," katanya. 

Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TLDM, kakitangan serta jurulatih KD Sultan Ismail atas usaha melahirkan bakal pewaris kesinambungan kecemerlangan TLDM.

Terdahulu, perbarisan tamat latihan itu melibatkan 10 divisyen dengan kekuatan 645 perajurit muda termasuk 59 wanita yang kesemuanya menjalani KATL selama enam bulan selepas mengangkat sumpah pada 29 Jun lepas.

Laskar Muda Terbaik Keseluruhan Lelaki diraih Laskar Muda PAP Ammar Najmuddin Abdullah manakala gelaran Laskar Muda Terbaik Keseluruhan Wanita menjadi milik Laskar Muda TNL Mel C Jane Casmil. 

Selain upacara perbarisan, orang ramai turut berpeluang merasai pengalaman menyaksikan dan menaiki dua kapal di jeti KD Sultan Ismail, iaitu KD Gagah Samudera dan KD Pahang.

-- BERNAMA