KUALA LUMPUR: Fasa akhir pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pertama akan disiapkan pada penghujung tahun ini, menurut Kementerian Pertahanan.


Ringkasan AI
  • Fasa akhir pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pertama akan disiapkan pada penghujung tahun ini dan akan menjalani ujian oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama dua tahun.
  • Kapal LCS kedua dijangka turun ke permukaan air dan menjalani ujian pada pertengahan 2025.
  • Status kemajuan semasa perolehan LCS adalah 69.58%, melebihi jadual yang dirancangkan iaitu 69.5%.


Kementerian itu memaklumkan kapal terbabit kemudian akan menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tempoh dua tahun.

"Bagi kapal LCS kedua pula, ia akan turun ke permukaan air sebelum menjalani HAT dan SAT pada pertengahan 2025," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai perancangan kerajaan dalam menyegerakan pembinaan kapal LCS bagi menghadapi ancaman pihak luar terhadap kawasan zon ekonomi dan kepulauan milik Malaysia di perairan Laut China Selatan yang semakin meningkat.

Kementerian Pertahanan memaklumkan perolehan kapal LCS pada masa ini masih dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan di dalam kontrak.

Status kemajuan semasa bagi perolehan LCS secara keseluruhan merangkumi elemen reka bentuk, pembinaan, peralatan serta ujian yang berakhir pada 25 Ogos lepas adalah sebanyak 69.58 peratus, melebihi jadual yang dirancangkan iaitu 69.5 peratus.

-- BERNAMA