KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan akan menentukan keabsahan peruntukan Seksyen 9, Akta Perhimpunan Aman 2012, berhubung pertuduhan ke atas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amir Hariri Abd Hadi, 33, dalam prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Majistret dua tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Keputusan Mahkamah Persekutuan: Mahkamah Persekutuan akan menentukan keabsahan peruntukan Seksyen 9, Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung pertuduhan terhadap Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi. Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Amir Hariri untuk merujuk persoalan perlembagaan peruntukan tersebut.
  • Percanggahan dan Impak: Keputusan kehakiman terhadap peruntukan ini akan mempengaruhi kes jenayah yang melibatkan Amir Hariri. Mahkamah Persekutuan dianggap sebagai forum terbaik untuk menyelesaikan percanggahan di antara dua keputusan terdahulu.
  • Pertuduhan terhadap Amir Hariri: Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan perhimpunan Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diadakan pada 14 Ogos 2022. Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abd Hamid membuat keputusan untuk membenarkan permohonan Amir Hariri untuk merujuk persoalan perlembagaan peruntukan berkenaan berkaitan keperluan memberi notis lima hari kepada pihak polis sebelum tarikh himpunan.

"Persoalan itu ialah sama ada Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak asasi untuk berhimpun secara aman," katanya.

Tambah beliau, keputusan kehakiman terhadap peruntukan tersebut akan memberi impak terhadap kes jenayah melibatkan Amir Hariri.

Justeru katanya Mahkamah Persekutuan adalah forum terbaik untuk menyelesaikan percanggahan di antara dua keputusan terdahulu.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Joshua Tay dan Beatrice Chin manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.

Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan perhimpunan 'Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)' yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Selaku penganjur, beliau didakwa gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga Daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang 14 Ogos 2022.

Amir Hariri didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.