Program yang berlangsung bermula 29 Oktober hingga 5 November 2024 di sekitar Lumut, Subang, dan perairan Utara Selat Melaka itu dirasmikan Asisten Ketua Staf J5 Markas Angkatan Bersama (MK AB) Laksamana Pertama Muhammad Rodhi Ariffin di Pusat Peperangan dan Doktrin TLDM, Pangkalan TLDM Lumut semalam.
Latihan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan tempur, malah menggalakkan perkongsian keselamatan dan kefahaman operasi dalam persekitaran maritim.
Konsep eksesais ini berlandaskan keselamatan maritim dengan dua fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan (29-31 Oktober) melalui Subject Matter Expert Exchange (SMEE) dan Fasa Laut (1-3 November) melalui Field Training Exercise (FTX).
Seramai 441 peserta ATM dan 380 peserta TLAS terlibat dalam Eksesais CARAT 24 ini.
CARAT 24 juga menyaksikan penglibatan aset-aset ATM seperti KD TERENGGANU, KD RENCONG, 2 buah pesawat F-18D, sebuah pesawat Fennec, sebuah pesawat EC 725 dan Fast Combat Boat (FCB) manakala aset-aset TLAS pula seperti USS DEWEY, sebuah pesawat P-8A Poseidon dan sebuah pesawat MH-60S.
Menurut Timbalan Komander Destroyer Squadron 7 dan Ketua Delegasi AS, Kapten John P. Baggett, 2024 menandakan ulang tahun ke-30 siri latihan ketenteraan eksesais CARAT di antara Malaysia dan AS serta memperkukuh kerjasama erat di antara kedua-dua negara yang terjalin selama 67 tahun.
Tambahnya, latihan seperti itu menonjolkan kerjasama cemerlang antara angkatan tentera kedua-dua negara dan memupuk rasa hormat di antara satu sama lain.
Latihan CARAT 2024 juga menjadi simbol komitmen Amerika Syarikat terhadap rakan-rakan utama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam memperkukuh prinsip 'ASEAN Centrality', serta menyokong rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.