SEKITAR bulan September lalu, tular di media sosial mengenai kisah yang dikongsikan oleh seorang jurujual kereta tentang telatah seorang isteri askar yang dikatakan merengek mahukan kereta Proton X50. Namun, disebabkan syarat gaji suaminya yang tidak mencukupi, permohonan pinjaman bank untuk membeli kenderaan tersebut gagal direalisasikan jurujual.


Ringkasan AI
  • Anggota ATM dan keluarga mereka menghadapi cabaran dalam kos sara hidup, gaji yang kurang kompetitif, dan kesukaran mendapatkan keseimbangan hidup. Langkah kerajaan seperti pelarasan gaji dan program perumahan telah membantu meningkatkan kebajikan mereka.
  • Kekurangan peluang kerjaya bagi pasangan anggota tentera memberi kesan kepada ekonomi keluarga dan kestabilan rumah tangga. Peruntukan seperti RM10 juta untuk program BAKAT membantu pasangan menjana pendapatan, memperkukuh kestabilan kewangan, dan memperbaiki kualiti hidup di kem tentera.
  • Kebajikan yang menyeluruh, termasuk aspek ekonomi, sosial, dan psikologi, meningkatkan motivasi serta fokus anggota tentera dalam menjalankan tugas. Usaha inovatif ini penting untuk mengekalkan kestabilan pertahanan negara.


Kisah ini mungkin dianggap sebagai satu jenaka oleh sebilangan pihak, dan ada yang mengkritik isteri askar tersebut sebagai ‘tidak mengukur baju di badan sendiri’. Namun, perbincangan yang sepatutnya bukanlah atas kemahuan tersebut secara sempit. Tetapi berkait rapat dengan gambaran besar tentang kualiti hidup anggota tentera. Dalam hal ini, anggota tentera dan pasangan mereka juga manusia. Yang mempunyai kemahuan dan keinginan untuk hidup selesa dan sejahtera. Jadi, tiada yang janggal dalam tingkah laku ini kerana keinginan untuk menaik taraf kehidupan merupakan sifat dan ciri-ciri manusia biasa.

Sejak sekian lama, cabaran mempertingkatkan kualiti hidup anggota tentera menjadi antara halangan dalam membina kekuatan dan kualiti pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pada tahun 2023, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman, menyatakan bahawa struktur gaji Tentera Darat Malaysia (TDM) yang kurang kompetitif berbanding sektor swasta merupakan antara punca utama kekurangan minat dalam kalangan bukan bumiputera untuk menyertai pasukan keselamatan negara.

Data pada tahun 2023 menunjukkan bahawa penyertaan masyarakat bukan bumiputera dalam ATM adalah kurang daripada tiga peratus. Antara sebab utama yang dikenal pasti adalah faktor gaji, jadual tugas yang tidak menentu, dan kesukaran untuk bersama keluarga ketika musim perayaan.

Hari ini, isu gaji telah mendapat perhatian sewajarnya. Pada Ogos 2024, kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelarasan gaji yang membawa kepada peningkatan sehingga 15 peratus dalam tempoh dua tahun. Langkah ini tentu sahaja melegakan anggota keselamatan negara yang sejak sekian lama ‘berperang’ dengan ‘keganasan’ kos sara hidup kebelakangan ini.

Apa yang penting, aspek kebajikan anggota tentera kini mendapat perhatian lebih serius daripada kerajaan. Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) di bawah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga dilihat semakin agresif dan inovatif dalam memastikan kebajikan anggota tentera dijaga dengan baik. Khususnya dari segi keperluan asas seperti perumahan. Belanjawan 2024 lalu memperlihatkan sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara, dengan 4,700 unit RKAT yang disiapkan secara berperingkat. Baru-baru ini, sekali lagi, keperluan asasi warga ATM diberi keutamaan melalui program Prajurit Broadband yang hanya berharga RM49 sebulan sebagai inisiatif kebajikan untuk meningkatkan kesejahteraan warga ATM dan keluarga mereka di kem tentera.

Peningkatan Belanjawan Pertahanan 2025 sebanyak 7.08 peratus berbanding tahun 2024 sebenarnya menawarkan peluang yang lebih luas untuk MINDEF meneruskan agenda mempertingkatkan kualiti hidup warga ATM. Keperluan untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup warga ATM sememangnya perlu diperkasa, memandangkan aspek ini mempunyai kaitan rapat dengan kesejahteraan mental, fizikal, dan motivasi warga ATM, yang membolehkan mereka terus berkhidmat dengan sepenuh hati.

Walaupun fokus utama terarah kepada anggota ATM, aspek yang turut tidak boleh diabaikan ialah kesejahteraan anggota keluarga ATM. Pasangan, anak-anak dan ahli keluarga merupakan motivasi serta tulang belakang yang menjadi elemen penting kepada kesejahteraan sosial yang terangkum. Oleh itu, kesejahteraan minda dan kitaran sosial para isteri dan keluarga perlu diberikan perhatian sebaiknya.

Pasangan anggota yang terpaksa mengikuti suami atau isteri masing-masing untuk tinggal di kem-kem sering kali perlu mengorbankan kerjaya masing-masing disebabkan kekurangan peluang pekerjaan di tempat baharu. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan kompetensi dan bakat mereka, malah turut menyebabkan penurunan pendapatan isi rumah warga ATM. Situasi ini berisiko menimbulkan pelbagai isu rumah tangga yang akhirnya memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan hingga menggugat kesejahteraan hidup mereka.

Pengalaman Amerika Syarikat dalam menjaga kesejahteraan pasangan tentera menawarkan beberapa perkara menarik. Terdapat program-program yang dirangka khusus untuk menyediakan sokongan kepada pasangan anggota tentera, seperti Spouse Education and Career Opportunities (SECO). Program yang disokong oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ini menyediakan pelbagai bentuk bantuan dalam bidang pendidikan dan kerjaya.
Program ini menawarkan kaunseling peribadi, bantuan kewangan melalui My Career Advancement Account (MyCAA) dengan jumlah sehingga $4,000, serta menyediakan alat pencarian kerjaya. Selain itu, SECO juga memperluaskan rangkaian pekerjaan melalui Military Spouse Employment Partnership (MSEP). Kesemua usaha ini bertujuan untuk memastikan pasangan anggota tentera dapat mencapai kestabilan kerjaya dan kewangan melalui sokongan pendidikan, latihan, serta akses kepada peluang pekerjaan yang bersesuaian.

Dengan mengambil pendekatan yang hampir sama, MINDEF buat julung kalinya memperuntukkan RM10 juta kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) bagi menjana pelbagai aktiviti perekonomian. Peruntukan ini jelas menunjukkan pendekatan yang strategik dan berpandangan jauh dalam memastikan kesejahteraan hidup isteri anggota tentera. Pertama, dari sudut ekonomi, langkah ini mampu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga anggota.

Realitinya, apabila pasangan anggota tentera terlibat dalam program ekonomi dan mampu menjana pendapatan tambahan bukan sahaja menambah kestabilan kewangan keluarga, tetapi juga memberi kelegaan kepada anggota tentera yang sering terpaksa berhadapan dengan situasi operasi dan tugasan yang mencabar. Mengapa hal ini penting?

Dengan mengambil kira aspek kestabilan kewangan, anggota tentera mampu memberi fokus sepenuhnya kepada tanggungjawab dan tugas mereka tanpa perlu khuatir tentang keadaan ekonomi keluarga di rumah. Dalam erti kata lain, ia memperkukuh kekuatan dan tumpuan anggota terhadap tugas-tugas pertahanan negara.

Lebih daripada itu, program ekonomi yang dianjurkan bukan sekadar membuka peluang menjana pendapatan, tetapi juga menjadi pemangkin untuk memperbaiki kualiti hidup dan kesejahteraan sosial di dalam kem. Kita tidak boleh menafikan bahawa tekanan psikologi dan rasa kesunyian sering menjadi cabaran utama yang dihadapi oleh isteri anggota yang berjauhan dari suami mereka.

Melalui pendekatan ini, interaksi sosial yang diwujudkan membantu membina ikatan komuniti yang lebih erat, menyediakan sokongan emosi dan mengukuhkan jaringan sosial dalam kalangan pasangan anggota. Akhirnya, penglibatan ini memberi mereka keyakinan diri, kesedaran tentang potensi diri, dan keupayaan untuk menghadapi cabaran hidup sebagai keluarga tentera. Ini bukan sekadar program ekonomi, ia adalah satu langkah menyeluruh yang mengambil kira kebajikan, kestabilan psikologi, dan kekuatan sosial komuniti tentera.

Fokus dan kesediaan Menteri Pertahanan dalam memastikan kehidupan di kem-kem tentera bersifat makmur, akrab dan terisi dengan aktiviti yang memberikan manfaat merupakan satu inovasi yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup keluarga anggota ATM. Ia mesti dilonjakkan dan dijadikan satu agenda besar yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Kegagalan merealisasikan inisiatif seperti ini hanya akan mengakibatkan kesan negatif terhadap moral dan fokus anggota tentera, dan secara tidak langsung mengancam kestabilan pertahanan negara. Tanpa kestabilan emosi dan sokongan kukuh di rumah, bagaimana kita boleh mengharapkan mereka memberikan yang terbaik di barisan hadapan?

* Artikel ini ditulis oleh Asriezam Uda, calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak (Sosioeknomi), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.