Antara tindakan yang diambil ialah pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, pemberhentian perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bayaran ganti rugi kepada kerajaan yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang, pada Selasa.
"Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Khaled berkata, kes pertama melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Muhammad Salman Mohd Saiful Surash yang telah ditekap seterika ke dadanya oleh Pegawai Kadet Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.
"Pelaku Amirul dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan berjumlah RM44,600.20.
"Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024 dan prosiding masih berjalan," ujarnya.
Bagi kes kedua, Khaled berkata ia melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kader Alief Ahsreihan Ahslemy oleh Pegawai Kadet Izzat Izuddin, Pegawai Kadet Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan dan Pegawai Kadet Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi.
"Ketiga-tiga Pegawai Kadet telah menganiaya mangsa melalui Hukuman Pembetulan, tindakan salah laku secara fizikal, mengarahkan mangsa melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.
"Pendedahan kes ini adalah melalui maklumat awal yang diterima oleh Ketua Kompeni daripada seorang pensyarah di UPNM.
"Ketiga-tiga pelaku telah dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20," kata beliau.
Manakala kes ketiga pula melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Yeong Kian Rui oleh Pegawai Kadet Ammar Hafiy Muhammad Habib yang menyebabkan kecederaan fizikal dan telah dikenal pasti setelah jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.
"Siasatan mendapati mangsa mengalami 'kecederaan tisu lembut di bahagian bawah belakang akibat trauma'.
"Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan sejumlah RM32,115.95," katanya.
Sehubungan itu, Khaled menegaskan, Kementerian Pertahanan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambahbaik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.
"Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.
"Kementerian Pertahanan turut berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraanyang sepatutnya diamalkan.