Beliau berkata program itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.
"Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan MADANI," katanya dalam sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Anwar dan PMO, hari ini.
Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri juga bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan ini bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, selain bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Beliau berkata berkata butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
Sehubungan itu beliau berkata PMO menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, PMO percaya komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan Kerajaan.
"Justeru Pejabat Perdana Menteri mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif-inisiatif ini, demi kebaikan dan kemajuan negara kita. Jadikan Ramadan ini sebagai bulan islah yakni pembaharuan dalam komunikasi, pentadbiran, dan kehidupan," katanya.
-- BERNAMA
